Ujian dan Musibah Menurut Kaca Mata Seorang Mukmin

Ujian dan dugaan adalah lumrah dalam kehidupan, sekalipun kita beriman teguh kepada Allah. Allah s.w.t telah berfirman:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji?" (Surah Al-Ankabut: 2)
Ujian Allah boleh datang dalam berbagai bentuk, baik berupa kesenangan mahupun kesusahan. Perhatikan firman Allah s.w.t berikut:
"Maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!". Dan apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (Surah Al-Fajr: 15-16)


Ayat di atas ini menegur sikap sesetengah manusia yang menganggap kesenangan atau kesusahan itu sebagai kayu ukur penilaian Allah terhadap diri mereka. Di sini Allah menjelaskan ianya bukanlah sedemikian. Baik kesenangan mahupun kesusahan adalah ujian Allah.
Dalam erti kata lain, tak patut orang kaya menganggap dia kaya kerana Allah merahmatinya, begitu juga tak patut orang miskin merasa kemiskinan itu sebagai Allah menghinanya. Jangan sesekali berfikir sebegini. Kaya atau miskin, kedua-duanya adalah ujian Allah jua.
Walaupun dengan mendapat hidup senang itu juga merupakan ujian Allah, penulisan kali ini ingin lebih membincangkan tentang musibah dan ujian kesusahan sahaja.
Ujian dan Musibah Menurut Kaca Mata Seorang Mukmin
Seorang muslim harus faham dengan jelas konsep musibah dalam agama ini. Sebagai muslim, cara fikir kita dalam berhadapan dengan musibah adalah berbeza dengan cara fikir orang bukan Islam. Saya menjemput anda untuk memperhatikan aspek-aspek berikut:
1. Musibah merupakan sesuatu yang telah ditakdirkan.
Seorang mukmin haruslah yakin bahawa musibah adalah sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t, sepertimana firmannya:
"Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Surah Al-Hadiid: 22)
Apakah hikmahnya Allah menerangkan tentang hal ini? Kita lihat pula sambungannya pada ayat yang seterusnya:
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan, Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (Surah Al-Hadiid: 23)
Jika kita menghayati betul-betul makna kedua-dua ayat ini, kita akan dapat menyelami dua perkara.
Pertama, sama ada dapat hidup senang atau susah, kedua-duanya adalah kehendak Allah. Kedua, setelah mengetahui hakikat ini tidak sepatutnya kita membesarkan diri jika berjaya dan berasa putus asa jika gagal, sebabnya bukan kita yang menentukan takdir kita. Kita dituntut untuk bersyukur jika berjaya, dan bersabar jika gagal.
2. Musibah yang menimpa sesuai dengan kemampuan diri sendiri.
Kadang-kadang ujian atau musibah yang menimpa diri terasa begitu berat sekali, hinggakan hendak bersabar pun terasa susah. Jika ini berlaku, ingatlah bahawa kesusahan yang menimpa kita itu melambangkan kemampuan kita. Allah tidak akan menguji seseorang di luar kemampuannya. Firman Allah s.w.t dalam ayat terakhir surah Al-Baqarah:
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..." (Al-Baqarah: 286)
Oleh itu jika anda ditimpa musibah, ingatlah bahawa ia merupakan suatu ujian yang mampu anda tempuhi dengan tabah, persoalannya nak atau tak nak sahaja.
3. Musibah sebagai penghapus dosa dan pemberi peluang meraih pahala.
Jangan lihat musibah sebagai sesuatu yang buruk. Jika kita redha dan bersabar, ia akan jadi sebab dihapuskan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Tidaklah seorang mukmin itu ditimpa kesusahan, kesakitan, kerisauan, malah terpijak duri sekalipun melainkan Allah akan menghapuskan dosanya (selagimana dia sabar)." (HR Bukhari dan Muslim)

Selain itu, musibah membuka peluang untuk kita bersabar. Semua orang tahu sabar adalah satu perilaku yang mulia dan amat disukai oleh Allah.

4. Bersama setiap kesusahan datang kemudahan.
Jangan kecewa jika ditimpa apa jua kesusahan, kerana bersama setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Inilah satu pujukan Qurani yang menenangkan hati-hati yang resah ketika ditimpa ujian dan dugaan. Allah berfirman:

"Oleh itu, maka sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (Surah Al-Insyirah: 5-6)
Di sini ayat yang sama diulang dua kali, memberikan unsur penegasan tentang konsep ini. Kita biasa lihat keadaan ini berlaku di mana-mana, baik kepada muslim mahupun bukan muslim. Siapa saja yang kerja keras dan berusaha lebih, Allah akan memberikannya hasil yang setimpal atas usahanya itu selagimana Dia tidak berkehendak untuk mengujinya dengan kegagalan.
Tapi siapa yang malas berusaha, kejayaan tidak akan datang. Mana mungkin orang yang malas belajar boleh jadi pandai? Mana mungkin orang lapar yang tidak mencari makanan boleh menjadi kenyang?
5. Pahala ganjaran kesabaran setimpal dengan musibah yang menimpa.
Lagi besar ujian atau musibah yang menimpa, lagi besarlah pahala yang kita terima jika kita bersabar menghadapinya. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya besarnya pahala sebanding dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya jika Allah Ta'ala mencintai sesuatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang redha maka baginya keredhaan (Allah). Sedangkan siapa yang murka maka baginya kemurkaan (Allah)." (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah. Tirmidzi mendarjatkan hadith ini sebagai hasan)
6. Musibah sebagai hasil kesan perbuatan sendiri.
Allah tidak akan menzalimi hamba-hambaNya dengan menimpakan musibah tanpa sebab-musabab. Segala yang berlaku pasti ada asal-usulnya daripada pilihan manusia itu sendiri, baik dia sengaja ataupun tidak. Jika dia tidak sengaja atau tidak tahu, maka musibah itu adalah sebagai ujian ataupun penghapus dosa-dosanya. Tapi jika pilihan itu dilakukan dengan sengaja walaupun dia jelas dengan akibatnya, maka bolehlah kita anggap "sendiri buat sendiri tanggunglah". Konsep ini dijelaskan dengan banyak kali dalam Al-Quran. Contohnya ayat berikut daripada surah As-Syura:
"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu." (As-Syuura: 30)
Walaupun dalam ayat di atas ini disebutkan sekali lagi tentang konsep bahawa musibah itu sebagai tanda diberi keampunan oleh Allah s.w.t, tapi ini tidaklah bermaksud kita tidak perlu bertaubat. Sebab dalam ayat lain ada disebutkan bahawa antara hikmah diturunkan bala dan musibah atas kesalahan sendiri adalah supaya kita dapat insaf sebelum terlambat. Allah telah berfirman:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah Ar-Ruum: 41)
Pengajarannya daripada konsep ini, tugas kita dalam kehidupan ini ialah untuk selalu memilih melakukan yang baik-baik dan jauhilah kesalahan dan dosa supaya dapat terhindar daripada musibah. Ini satu jihad kita yang asas.
7. Tidak berputus asa apabila ditimpa musibah.
Gagal atau musibah bukanlah pengakhiran, selagimana musibah itu bukan berbentuk kematian. Jangan ada niat untuk berputus asa jika gagal, ini bukan sikap seorang muslim. Bukankah Allah telah berfirman:
"..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidaklah berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf: 87)

0 Response to "Ujian dan Musibah Menurut Kaca Mata Seorang Mukmin"